Thursday, August 6, 2009

Demonstrasi Jalanan Vs. Musyawarah

Demonstrasi jalanan Vs. Musyawarah




 

Menyorot semula detik-detik pengistiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu(kini Malaysia) pada 31 Ogos 1957, berdiri megah sebuah sosok berdarah Raja dipentas agung disaksikan seantero dunia , lantas memekik lantang "Merdeka!, Merdeka!, Merdeka!" sambil disahut oleh jiwa-jiwa bangga yang bersyukur bahawa tanah air yang dicintai mereka ini sudahpun berdaulat dan boleh ditadbir mengikut acuan mereka sendiri. Pelbagai onak ranjau dan liku-liku getir telah mereka lalui dan sejarah telah mempatrikan, berjayanya para pejuang kemerdekaan menuntut kemerdekaan adalah hasil persetujuan daripada rundingan meja bulat(musyawarah) tanpa ada setitikpun pertumpahan darah yang berlaku.


Namun begitu, 12 tahun kemudian, pada 13 Mei 1969, berlakunya satu tragedi yang meragut ratusan nyawa dan ini berlaku kerana terdapatnya pergeseran antara kaum timbul hasil daripada demonstrasi jalanan pada 10 mei 1969 yang dianjurkan oleh Parti Demoratik Rakyat(DAP) dan Gerakan untuk meraikan kemenangan besar mereka pada Pilihanraya tahun tersebut. Pada mulanya, mengikut sejarah, demonstrasi tersebut tidaklah sedikitpun melukakan hati orang Melayu namun dek kerana kebiadapan para peserta demonstrasi yang membawa penyapu simbolik menyapu keluar orang Melayu daripada Kuala Lumpur(pada waktu tersebut kaum Cina majoritinya tinggal di bandar besar) dan berarak dijalanan sambil mengibar bangga sepanduk-sepanduk yang mempatrikan kata-kata yang jelas menghiris hati orang Melayu, maka berlakulah pertumpahan darah pabila orang-orang Melayu pula membalas demonstrasi tersebut dengan demonstrasi yang lebih radikal pada 13 Mei 1969. Penyudahnya, dek kerana nafsu politik orang-orang atasan, ratusan nyawa orang-orang bawahan yang terlalu taksub dengan politik yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin mereka telah melayang.


Kita imbas pula Tragedi Sauk yang membabitkan Al-Maunah yang didakwa melarikan ratusan senjata daripada sebuah kem tentera dengan tujuan ingin menggulingkan Yang Dipertuan Agong lantas mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia. Apakah yang menyebabkan Al- Maunah secara umumnya dan Amin(Ketua Al-Maunah) tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia yang mengendalikan kes tersebut? Mengikut catitan Leftenan Jeneral Zaini Mohamad Said,pegawai yang dipertanggungjawabkan menangani tragedi tersebut, Al-AMunah sedia berundur hasil daripada perbincangan dan rundingan yang dibuat antara beliau dan M. Amin. Terang tanpa bersuluhlah, musyawarahlah adalah kunci untuk perdamaian.


Sebagai pengakhiran, terdapat banyak lagi contoh-contoh yang boleh membuktikan bahawa demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang dangkal dan merugikan rakyat Malaysia. Dimanapun kita berpihak, samaada dipihak kerajaan ataupun pembangkang, sedarlah menyokong demonstrasi jalanan adalah suatu tindakan yang harus dinilai semula. Bermusyawarahlah kerana Musyawarah itu disarankan oleh agama.

" Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu, kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya" [Ali-Imran : 159]

"Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka" [Asy-Syuura : 38]

Tulus ikhlas,

LurzAlkmaar